Hukum Berzikir dan Berdoa dengan meninggikan suara secara Jamaah

Persoalan yang akan dibincangkan disini bukanlah suatu persoalan yang baru bahkan merupakan persoalan yang diperdebatkan dari generasi ke generasi dan akan berlarutan selagi mana kita tidak berlapang dada dan tidak cuba mengkajinya secara ilmiah.

Kita merasa terkilan kepada sebahagian yang mendakwa bermazhab Syafie tetapi sebenarnya telah berdusta dan mengkhianati Al-Imam As-Syafie Rahimahullah (204H) dengan menyatakan apa yang tidak dinyatakan oleh Al-Imam As-Syafie sendiri. Ini semua berpunca dari kejahilan dan sikap malas untuk membuka sendiri kitab-kitab Imam Syafie. Akhirnya hanya mendengar dan menerimanya tanpa dikaji adakah ianya benar atau tidak.

Disini kita tidak menyatakan bahawa Haramnya bermazhab, bahkan wajib bagi mereka yang tidak mampu untuk mencari dalil dari Al-Quran dan Sunnah untuk bertaqlid. Cuma yang diingkari ialah sikap Ta’sub kepada Mazhab seolah-olah mazhab merekalah yang benar dari mazhab yang lain.

Disini dibawakan kata-kata Al-Imam As-Syafie Rahimahullah yang menunjukkan betapa tawadu’nya beliau juga saranan supaya meninggalkan pendapatnya sekiranya bertentangan dengan sunnah Rasulullah Sallallhu alaihi wasallam

ما من أحد إلا وتذهب عليه سنة لرسول الله r وتعزب عنه, فمهما قلت من قول, أو أصّلت من أصل فيه عن رسول الله r خلاف ما قلت, فالقول ما قال رسول الله rوهو قولي.

“Tiada seorang pun kecuali dia akan terlepas pandang dari sunnah Rasulullah. Maka apa sahaja yang aku ucapkan atau yang aku asalkan (kaedahkan) dari Rasulullah yang bercanggah dengan ucapanku. Maka sabda Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam itulah pendapatku.”

أجمع المسلمون على أن من استبان له سنة عن رسول اللهr , لم يحل له أن يدعها لقول أحد.

“Telah disepakati bahawa sesiapa yang telah jelas baginya Sunnah dari Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, tidak halal baginya mengambil pendapat yang lain.”

إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله r , فقولوا بسنة رسول الله, ودعوا ما قلت. (وفي رواية : فاتبعوها, ولا تلتفتوا إلى قول أحد).

“Sekiranya kamu dapati di dalam kitab ku ini apa-apa yang menyanggahi Sunnah maka ambillah Sunnah Rasulullah dan tinggalkan pendapatku (dalam riwayat lain) maka ikutilah ia (Sunnah) dan janganlah kamu mengambil pendapat yang lain.”

إذا صح الحديث فهو مذهبي

“Sekiranya Sahih sesuatu Hadith, (sanad dan matan) maka itulah Mazhabku.”

أنتم أعلم بالحديث والرجال مني, فإذا كان الحديث الصحيح فأعلموني به أي شيء يكون : كوفياً أو بصرياً أو شامياً, حتى أذهب إليه إذا كان صحيحاً.

“Berkata Imam Syafie kepada Imam Ahmad bin Hanbal : Kamu lebih mengetahui Hadith dan Rawinya daripada Aku, sekiranya sesuatu hadith adalah sahih beritahulah kepadaku sama ada dari Kufah atau Basrah atau Syam . aku akan ke sana sekiranya hadith itu sohih.”

كل مسألة صح فيها الخبر عن رسول الله rعند أهل النقل بخلاف ما قلت, فأنا راجع عنها في حياتي وبعد موتي.

“Setiap perkara yang sahih dari Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang bercanggah pendapatku, maka aku menarik semula daripadanya semasa aku hidup dan selepas kematianku.

إذا رأيتموني أقول قولاً, وقد صح عن النبي r خلافه, فاعلموا أن عقلي قد ذهب.

“Sekiranya kamu dapati aku berkata sesuatu, tetapi thabit daripada Rasulullah berlawanan dengan pendapatku, ketahuilah ketika itu aqalku telah hilang.

كل حديث عن النبي صلى الله عليه وسلم فهو قولي و إن لم تسمعوه مني.

“Setiap hadith dari nabi sallallhu alaihi wasallam merupakan pendapatku, walaupun kamu tidak pernah mendengarnya daripadaku.”

Sekiranya diperhatikan kepada kata-kata Imam syafie ini kita dapati bahawa Imam Syafie tidak akan mendahulukan kata-katanya daripada Allah dan Rasul seperti mana yang difirmankan Allah di dalam Al-Quran Surah Al-Hujurat ayat 1

يأيها الذين آمنوا لا تقدموا بين يدي الله ورسوله واتقوا الله

“wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahulukan kata-katamu daripada Allah dan Rasul-Nya dan bertaqwalah kamu kepada Allah.”

Tetapi yang berlaku pada hari ini sekiranya ada orang yang membawakan hadith yang sahih, berlainan apa yang dipelajari dari mazhabnya, maka hadith nabi diketepikan disebabkan ta’sub memegang pendapat mazhab masing-masing, adakah perbuatan tersebut mengikut seperti mana yang diwasiatkan oleh Al-Imam As-Syafie, “Sekiranya Sahih sesuatu hadith maka itulah mazhabku”.

Fikirkan dan renungkanlah adakah kita lebih a’lim dari Imam Syafie yang ilmunya jika dibandingkan dengan kita, bagaikan setitis air ditengah lautan. Kesimpulannya siapakah yang lebih menyayangi dan menyanjungi tokoh ini yang digelar “Nasirus Sunnah”, mujaddid ke 2 selepas Umar bin Abdul Aziz. Adakah mereka yang mendakwa bermazhab syafie tetapi mengkhianati dan mendustai Beliau dengan mengatakan apa yang tidak Beliau katakan? Ataupun mereka yang mengikut Manhaj yang telah dilalui oleh Tokoh ini Al-Imam As-Syafie Rahimahullahu Ta’ala?

Hukum Berzikir dan berdoa beramai-ramai dengan suara yang nyaring.

1. Al-Imam Syafie menyebutkan tentang permasalahan ini di dalam kitabnya yang masyhur Al-Umm di dalam :-

باب كلام الإمام وجلوسه بعد السلام

(264) كان رسول الله r إذا سلم من صلاته يقول بصوته الأعلى: لا إله إلا الله وحده لا شريك له, له الملك وله الحمد …..الخ الحديث

قال الشافعي : وهذا من المباح للإمام, وغير المأموم, قال: وأي إمام ذكر الله بما وصفت جهرا أو سرا أو بغيره فحسن, وأختار للإمام والمأموم أن يذكرا الله بعد الإنصراف من الصلاة, ويخفيان الذكر, إلا أن يكون إماما يجب أن يتعلم منه, فيجهر حتى يرى أنه قد تعلم منه ثم يسر, …..الدعاء. ولا تجهر ترفع ولا تخافت حتى لا تسمع نفسك, وأحسب ما روى ابن الزبير من التهليل النبي, وما روى ابن عباس من التكبير كما رويناه.

قال الشافعي : ………وأحسبه لم يمكث إلا ليذكر ذكرا غير جهر.

Bab perkataan Imam selepas salam.

Hadith bernombor 264 bermaksud Rasulullah sallallhu alaihi wasallam selepas memberi salam, baginda berzikir dengan kuat :إله الا الله وحده لا شريك له….. لا ( sehingga akhir hadith)

Berkata As-Syafie : Mana-mana imam yang berzikir dengan apa yang dinyatakan secara kuat atau nyaring atau perlahan atau yang lain adalah baik. Aku berpendapat imam dan makmum berzikir selepas selesai solat secara perlahan, kecuali bertujuan mengajar, maka dikuatkan. Setelah itu diperlahankan semula. Begitu juga dengan doa, tidak dikuatkan dan jangan pula perlahan sehingga tidak didengari olehnya.

( Lihat : Al-Umm, Muhammad bin Idris As-Syafie, jilid 2 muka surat 288, kitab As-Solat )

2. Di dalam Fathul Bari kitab yang mensyarahkan Sohih Al-Bukhari oleh Ibn Hajar Al-Asqalani (852 Hijrah) menyatakan ketika mensyarahkan hadith :-

باب الذكر بعد الصلاة

(841)أن رفع الصوت بالذكر- حين ينصرف الناس من المكتوبة- كان على عهد النبي , r وقال ابن عباس, كنت أعلم إذا انصرفوا بذلك إذا سمعته.

(842)عن ابن عباس رضي الله عنهما قال : كنت أعرف انقضاء صلاة النبي r التكبير.

Maksud hadith : (841) Sesungguhnya meninggikan suara ketika selesai dari solat-pernah berlaku pada zaman Nabi Sallallahu alaihi wasallam, Berkata Ibn Abbas : Aku mengetahui selesainya solat itu apabila aku mendengarnya (zikir)

Maksud Hadith : (842) Dari Ibn Abbas Radiallahu anhuma berkata: Dulu aku mengetahui selesainya solat nabi Sallallahu alaihi wasallam dengan Takbir.

Ibn Hajar menuqilkan dari Ibn Battal (بطال) di dalam “utbiah” dari Malik bahawa yang demikian itu Muhdath (bid’ah) . kemudian dia menyatakan dari segi konteks hadith menunjukkan bahawa para Sahabat nabi tidak mengangkat suara mereka pada waktu itu seperti mana yang diriwayatkan oleh ibn Abbas. Ibn Hajar Al-Asqalani berkata : Adapun pendapat yang mengaitkan perbuatan berzikir secara kuat itu dilakukan oleh sebahagian sahabat boleh dipertikaikan bahkan kalaupun ada para sahabah yang dikaitkan pada masa itu hanyalah sedikit.

Imam An-Nawawi berkata : Imam As-Syafie berpendapat bahawa mereka menguatkan suara ketika berzikir hanyalah seketika dan bertujuan untuk mengajar cara-cara berzikir, dan tidak pula mereka berterusan berzikir dengan cara menguatkan suara oleh itu pendapat yang dipilih ialah imam dan makmum berzikir dengan cara perlahan (tidak meninggikan suara) kecuali apabila hendak mengajar.

Perkataan Ibn Abbas bahawa beliau mengetahui selesainya solat nabi dengan takbir, berkata Iyadh (عياض) secara jelasnya hadith menunjukkan bahawa Ibn Abbas tidak hadir berjamaah kerana pada masa itu dia masih kecil dan tidak wajib baginya solat berjamaah, oleh yang demikian dia mengetahui selesainya solat dengan mendengar zikir atau takbir.

Pendapat yang lain menyatakan bahawa Ibn Abbas hadir solat jamaah tetapi berada di saf yang terakhir, oleh itu dia tidak mengetahui selesainya solat dengan salam tetapi dia mengetahuinya dengan takbir.

Ibn Daqiqil I’ed berpendapat bahawa hadith itu menunujukkan bahawa suara tidak dapat sampai kepadanya kerana jauh.

(Fathul Bari Syarh Sohih Al-Bukhari, Kitab Al-Azan, Bab berzikir selepas solat, jilid 2, muka surat 419-421.)

3. Hadith yang sama (di atas, riwayat bukhari) juga terdapat di dalam Sohih Muslim yang di syarahkan oleh Al-Imam An-Nawawi As-Syafie (676 Hijrah).

Imam Nawawi berkata : Ibn Battal dan yang lainnya menuqilkan sesungguhnya bersepakat bahawa tidak di sunnahkan mengangkat suara ketika berzikir dan bertakbir. Beliau juga menuqilkan dari Imam Syafie seperti yang telah dinyatakan.

(Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim oleh Al-Imam An-Nawawi, Bab Zikir selepas Solat, jilid 5, muka surat 85)

4. Begitu juga yang disebutkan oleh Imam Nawawi di dalam kitabnya Raudatu al-Tholibin, beliau menyebut : Disunnahkan berdoa selepas salam secara senyap * kecuali imam hendak mengajarkan kepada yang hadir cara berdoa.

* Pentahqiq kitab Raudatu al-Tholibin Syeikh A’dil dan Syeikh A’li Muhammad di dalam nota kakinya menyatakan apa yang dilakukan orang awam dengan menguatkan suara ketika berzikir selepas solat dan menjadikannya adat bukan bertujuan mengajar maka ia termasuk di dalam Bid’ah yang mungkar yang sepatutnya dihalang dari melakukannya. ( Raudhah Al- Tholibin, jilid 1 muka surat 374)

5. Al-Imam Ibn al-Qayyim (751H) menyatakan Doa selepas salam sama ada mengadap kiblat atau mengadap makmum, yang demikian itu bukanlah dari petunjuk nabi sallallahu alaihi wasallam dan tidak diriwayatkan daripada nabi dengan sanad yang sahih juga tidak diriwayatkan dengan sanad yang hasan. Imam Ibn al-Qayyim seterusnya menegaskan bahawa umumnya doa dilakukan ketika berada di dalam solat kerana solat beerti munajat kepada Allah. Oleh yang demikian mengapa tidak berdoa ketika sedang bermunajat kepada Allah. Sedangkan masa yang paling hampir seorang hamba kepada Allah adalah di dalam solatnya.

( Ibn al-Qayyim, Zadul Ma’ad , jilid 1, muka surat 249-250)

6. Di dalam kitab Fiqh Manhaji iaitu kitab yang ditulis mengikut mazhab Syafie yang ditulis oleh ulama’ mazhab Syafie pada masa kini Dr. Mustafa Al-Khin, Dr. Mustafa Al-Bugha dan Ali As-Syarbaji dalam masalah Istighfar, zikir dan doa juga menyatakan “Tidak ada tegahan meninggikan suara bagi imam apabila bertujuan hendak mengajar, dan sekiranya mereka sudah mengetahuinya hendaklah kembali merendahkan suara. (jilid pertama muka surat 158)

7. Di dalam Kitab Al-Qaulul Mubin fi Akhta’ Musollin yang ditulis oleh Syeikh Masyhur Hassan Salman “ Bukanlah dari Sunnah apa yang dilakukan orang duduk selepas solat untuk membaca zikir-zikir dan doa-doa yang ma’thur atau yang tidak ma’thur dengan meninggikan suara secara berjamaah”.

8. Dr Wahbah az Zuhaili menyatakan zikir-zikir dibuat secara perlahan kecuali jika diajarkan kepada yang hadir maka dikuatkan sehingga mereka mengetahuinya.

( Al-Fiqhul Islami wa Adillatuh, jilid 1 muka surat 801)

9. Syeikh Ali Mahfuz, iaitu anggota Jamaah Kibar Al-Ulama’ di Al-azhar as-Syarif (1361 H) menyatakan, perbuatan yang dikira Bid’ah Makruhah (dibenci) dalam solat ialah meninggikan suara di masjid secara berjamaah serta berterusan dalam melakukannya sehingga orang awam menyangkakan ianya dari kesempurnaan solat, sedangkan yang sunnahnya bersendirian. Maka perbuatan demikian bukanlah dari nabi sallallahu alaihi wasallam, juga bukan dari para sahabah. Begitu juga dengan doa.

(Syeikh menjelaskan dengan panjang lebar dalam kitabnya Al-Ibda’ fi Madarril Ibtida’, muka surat 284-286)

Kesimpulan dari pandapat-pendapat para Ulama’ bahawa perbuatan berzikir dan berdoa beramai-ramai dengan meninggikan suara selepas solat bukanlah Sunnah untuk diikuti, juga tidak diriwayatkan dari kalangan salaf iaitu generasi yang awal melakukannya. Sekiranya ianya Sunnah sudah pasti para sahabat nabi akan meriwayatkannya dan melakukannya. jikalau sekiranya ianya baik nescaya kita akan berlumba-lumba melakukannya.

Rujukan:

  1. Ibn Hajar al-Asqalani, Fathul Bari syarh sohih al-Bukhari, cetakan Dar al-Salam.
  2. An-Nawawi, Abi Zakaria, Al-Minhaj syarh sohih Muslim ibn Hajjaj, cetakan Dar al-Ma’rifah.
  3. An-Nawawi, Abi Zakaria, Raudhah al-Tholibin, cetakan Dar al-Kutub al-Ilmiah.
  4. As-Syafie, Muhammad b.Idris, Al-Umm, cetakan Dar al-Wafa’.
  5. Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, Zadul Ma’ad, cetakan Muassasah al-Risalah.
  6. Syeikh Ali Mahfuz, al-Ibda’ fi Madarril Ibtida’, cetakan Dar al-Kutubul Ilmiyyah.
  7. Masyhur Hassan Salman, Al-Qaulul Mubin fi Akhtho’al-Musollin, cetakan Dar Ibn al-Qayyim dan Dar Ibn Hazm.
  8. Dr.Mustofa al-Khin, Dr.Mustofa al-Bugha, Dr. Ali Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam as-Syafie, cetakan Dar al-Qalam.
  9. Dr.Wahbah az-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, cetakan Dar al-Fikr.

Leave a comment