Kesahihan Wirid Selepas Solat

OLEH :UST MUHAMMAD HANIEF AWANG YAHAYA

Amalan membaca wirid setelah selesai mengerjakan solat sudah menjadi perkara yang diterima umum. Sesetengah wirid itu bagaimanapun tidak dapat dipastikan puncanya walaupun ada sebahagiannya yang mempunyai sandaran daripada Sunnah Rasulullah saw. Antara bacaan sesudah sembahyang yang masyhur di kalangan masyarakat kita ialah:

اللهم أنت السلام ومنك السلام وإليك يعود السلام فحينا ربنا بالسلام وأدخلنا الجنة دار السلام تباركت ربنا وتعاليت يا ذا الجلال والإكرام

Lafaz yang begitu panjang ini tidak dapat dibuktikan sabit oleh mana-mana pihak sebagai berpunca daripada Rasulullah saw dan itulah yang menjadi amalan Rasulullah saw. Malah apa yang terbukti sahih di dalam hadith-hadith Rasulullah ialah lafaz-lafaz yang berikut:

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَام

Dan di dalam sesetengah riwayat adalah seperti berikut:

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ تَبَارَكْتَ يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

Riwayat-riwayat asal yang sahih bagi wirid ini boleh didapati di dalam Sahih Muslim hadith nombor 931 , Sunan Abi Daud no: 1292, Sunan al-Nasa’i no: 1321, Sunan al-Tirmizi no: 275, Sunan Ibn Majah no: 914, Musnad Ahmad no: 21374, Sahih Ibn Khuzaimah no: 737, Sahih Ibn Hibban no: 200, Musnad Abi Awanah no: 2061 dan Sunan al-Darimi no: 1314.

Berdasarkan kepada hadith-hadith yang diriwayatkan oleh para ulama hadith, tidak satupun riwayat yang menepati dengan wirid itu tadi. Lafaz asal adalah terlalu ringkas. Ini bererti sudah berlaku penambahan dan tokok tambah terhadap lafaz asal yang telah diamalkan dan diajarkan oleh Rasulullah saw kepada kita.

Persoalannya ialah mengapa sekian banyak terdapat riwayat sahih tentang lafaz wirid tersebut tetapi tidak diamalkan bahkan lafaz asal yang terbukti sahih daripada Rasulullah saw itu ditokok tambah dan dipinda-pinda. Dalam hal ini, ulama menegaskan bahawa sesuatu hadith yang sahih tidak boleh ditinggalkan kecuali jika terdapat halangan seperti hadith itu sudah dimansukhkan oleh hadith yang lain atau hadith itu ditarjihkan dengan hadith yang lebih kuat daripadanya.

Allamah Mulla Ali al-Qari menukilkan daripada al-Jazari bahawa lafaz yang menjadi amalan kebiasaan masyarakat kita sebenarnya ialah rekaan para tukang cerita di suatu masa dahulu yang mempunyai kepentingan tertentu. Pendapat ini juga disokong oleh pengarang Tuhfah al-Ahwazi Syarah Jami` al-Tirmizi, Abdul Rahman al-Murakpuri. (lihat Mulla Ali al-Qari, Mirqat al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 2/18, al-Mawdu`at al-Kubra, 290, al-Mawdu`at al-Sughra, 270, Tuhfah al-Ahwazi, 2/166)

Dengan ini ternyata bahawa kita mejadikan riwayat mawdhu` sebagai amalan pegangan bukan hadith yang sahih.

Walaupun makna yang terkandung dalam lafaz pindaan tersebut sangat baik iaitu memohon dimasukkan ke dalam syurga namun ianya tertolak kerana beberapa kaedah umum. Pertama, penambahan terhadap lafaz hadith mestilah dinukilkan daripada perawi yang thiqah. (Lihat Al-Suyuti, Tadrib al-Rawi, jil 1 hal. 204) Tetapi berhubung dengan masalah ini, penambahan tersebut tidak terima kerana ia adalah nukilan daripada tukang-tukang cerita dan ia adalah hadith rekaan bukan hadith sahih. Kedua, Rasulullah saw melarang mengubah lafaz doa walaupun perbezaan yang ada sangat sedikit sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari:

عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلَاةِ ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الْأَيْمَنِ ثُمَّ قُلْ اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ اللَّهُمَّ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ فَإِنْ مُتَّ مِنْ لَيْلَتِكَ فَأَنْتَ عَلَى الْفِطْرَةِ وَاجْعَلْهُنَّ آخِرَ مَا تَتَكَلَّمُ بِهِ قَالَ فَرَدَّدْتُهَا عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا بَلَغْتُ اللَّهُمَّ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ قُلْتُ وَرَسُولِكَ قَالَ لَا وَنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ

Daripada al-Barra` bin `Azb katanya Rasulullah saw bersabda: Apabila kamu mendatangi tempat tidur berwuduklah dengan sempurna kemudian baringlah di lambung kanan kemudian ucapkanlah

اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ اللَّهُمَّ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ

Sekiranya anda meninggal dunia pada malam itu, anda berada di atas fitrah. Jadikanlah ia sebagai perkataan terakhir yang engkau ucapkan. Maka aku mengulangkan kembali doa itu di hadapan baginda sehingga sampai kepada

اللَّهُمَّ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْت

Maka aku menyebut وَرَسُولِكَ dan rasul Engkau

Lalu baginda bersabda: Jangan tetapi ucapkanlah وَنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ

nabi Engkau yang Engkau utuskan.

Hadith ini menunjukkan larangan mengubah walaupun satu patah perkataan. Ini kerana lafaz-lafaz zikir merupakan tawqif iaitu bergantung kepada ketentuan syara` dari segi penetapan lafaz dan penilaian pahala. (lihat Ibn Hajar, Fath al-Bari, 1 /247). Manakala dalam riwayat al-Tirmizi disebutkan bahawa Rasulullah saw menyucuk-nyucuk dada sahabat supaya membetulkan bacaan doa tersebut.

Selain itu, Al-`Ajluni menulis di dalam Kasyf al-Khafa’ (1/213) bahawa orang ramai telah membuat tambahan dalam doa ini dengan lafaz وتعاليت.

Mungkin apa yang dirasakan baik oleh sebahagian kita yang mengamalkan bacaan tersebut ialah kerana ia mempunyai saja` atau terdapat rima di hujung ayat-ayatnya yang menghasilkan bunyi yang indah. Walhal Rasulullah saw melarang dari melakukan saja` ketika berdoa. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya. Imam al-Ghazali mengatakan: Saja` yang makruh di dalam doa ialah saja` yang bersifat mengada-ngada kerana ia tidak sesuai dengan doa yang bersifat kekhusyukan dan ketundukan kepada Allah swt. (Ibn Hajar, Fath al-Bari, 12 /425)

Sebenarnya wirid tersebut merupakan gabungan dengan doa lain yang diajarkan oleh Rasulullah saw apabila melihat Ka`abah. (lihat al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra 5/73, Musnad al-Imam al-Syafi`e 1/125, al-Umm 2/169, Musannaf Ibn Abi Syaibah 1/270). Di sini kita sudah tersasar dalam mengamalkan sunnah Rasulullah saw. Doa melihat kaabah kita membacanya ketika setelah sembahyang. Mungkin dengan anggapan bahawa menghadap ke arah kiblat setelah sembahyang sama seperti mengadap kaabah lalu dibacakan doa melihat kaabah. Alangkah jauhnya qiyas yang kita gunakan.

Oleh itu, diharapkan kita dapat kembali kepada amalan sunnah yang sebenarnya dengan berpegang dengan hadith-hadith sahih. Walaupun lafaz yang sahih itu ringkas, namun ianya sebenarnya mempunyai kebekatan dan pengertian yang besar iaitu hendak menyatakan kebesaran Allah swt. Kerana siyaq atau halaman bagi lafaz tersebut ialah ta`zim atau tamjid (mengagungkan dan memuji Allah swt) bukannya untuk diselitkan dengan doa-doa kita.

Apabila kita merasakan sesuatu ibadat itu baik menurut pandangan kita walhal ianya bukan dari Sunnah Rasulullah bererti wujudnya percubaan untuk membelakangkan baginda. Sedangkan Allah swt berfirman:

وما آتاكم الرسول فخذوه وما نهاكم عنه فانتهوا

Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh rasulullah kepada kamu maka ambillah akan dia serta amalkan dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. ( al-Hasyr: 7)

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: