Al-Bukhari: Mencari Ilmu, Bukan Menunggu Ladunni

Sepanjang minggu ini saya ber’sahabat’ dengan sebuah buku karya salah seorang tokoh gerakan tajdid terkenal dari Syria, Jamaluddin al-Qasimi (meninggal pada tahun 1332 Hijrah) bertajuk ‘Hayat al-Bukhari’ (cetakan Dar al-Nafaais pada tahun 1992 dan dianalisis @ tahqiq oleh Mahmud al-Arnaouth). Buku ini telah saya baca sebelum ini, tetapi tidaklah seratus peratus. Terlalu banyak faedah yang ada di dalamnya menyebabkan saya rasa terpanggil untuk menelaahnya kali kedua. Buku tersebut menceritakan segala yang penting berkaitan Imam al-Bukhari, sejarahnya dalam menuntut ilmu, bukunya Sahih al-Bukhari serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya.

Siapa tidak kenal al-Bukhari? Muhammad Ibn Ismail namanya, al-Bukhari gelarannya. Beliau lahir pada 194 Hijrah dan meninggal pada tahun 256 Hijrah. Beliau bukanlah ahli hadith berbangsa Arab tetapi terkenal sehingga dikagumi oleh bangsa Arab dan bukan Arab. Siapa tidak kenal bukunya yang popular: al-Jami’ al-Saghir @ Sahih al-Bukhari? Sememangnya tiada siapa yang akan menafikan kehebatan dan kelebihan Muhammad Ibn Ismail al-Bukhari. Dalam tulisan ini saya ingin berkongsi bersama para pembaca tentang pengembaraan ilmu al-Bukhari dalam menuntut ilmu hadith sehingga beliau sampai ke tahap ‘hafidz’ dalam bidang ini. Maklumat di dalam artikel ini diringkaskan daripada buku Jamaluddin al-Qasimi yang telah disebutkan tadi.

Salah seorang murid al-Bukhari bernama Muhammad Ibn Abi Hatim pernah menceritakan bahawa beliau mendengar al-Bukhari bercerita tentang permulaan beliau mempelajari hadith iaitu semasa berumur lebih kurang 10 tahun. Ketika itu beliau mula menghafal hadith dan berusaha mempelajari segala yang berkaitan pengkajian hadith dengan bersungguh-sungguh.

Ketika al-Bukhari berumur lebih kurang 11 tahun, satu peristiwa yang menarik telah berlaku. Ketika itu al-Bukhari merupakan salah seorang pelajar hadith yang belajar dengan seorang alim hadith bernama al-Dakhili. Pada suatu hari, al-Dakhili telah tersilap dalam menyebut nama seorang periwayat hadith iaitu al-Zubair. Beliau telah menyebutnya dengan nama Abu al-Zubair. Al-Bukhari terus menegurnya dan al-Dakhili terus mengherdik al-Bukhari di depan para pelajar yang lain. Namun al-Bukhari berkeras bahawa nama sebenar periwayat itu ialah al-Zubair dan bukannya Abu al-Zubair. Al-Dakhili akhirnya bertenang dan menyemak kembali lalu membetulkan kesilapannya.

Ketika berumur 16 tahun, al-Bukhari telah berupaya menghafal hadith-hadith yang ada di dalam buku-buku terkenal di zamannya seperti buku yang dikarang oleh Abdullah Ibn al-Mubarak dan Waki’ Ibn al-Jarrah. Ketika umurnya 16 tahun juga beliau telah pergi menunaikan haji bersama ibu dan saudara lelakinya bernama Ahmad. Itulah kali pertama beliau keluar daripada kampung halamannya.

Berkenaan pengembaraan beliau dalam mencari dan menuntut ilmu hadith, al-Bukhari pernah berkata bahawa beliau telah mengembara sehingga ke negara-negara seperti Syam, Mesir, Hijaz (Mekah dan Madinah), Kufah, Baghdad dan lain-lain tempat.

Ketika menceritakan tentang guru-gurunya, al-Bukhari memberitahu: ‘aku telah menulis hadith daripada seribu lapan puluh orang guru dan semuanya adalah mereka yang memiliki hadith’.

Al-Bukhari pernah mengajarkan satu kaedah yang patut dihayati oleh kita semua iaitu: ‘tidak akan sempurna ilmu seorang ahli hadith sehinggalah dia belajar daripada orang yang lebih hebat darinya, sama hebat dengan dirinya dan juga yang kurang berilmu darinya’. Inilah lambang sikap rendah diri yang ada pada dirinya. Alangkah bagus jika nasihat al-Bukhari ini dihayati oleh golongan ulama dan juga semua peringkat masyarakat dalam mendalami ilmu-ilmu Islam.

Al-Bukhari mula mengajar orang lain tentang hadith ketika berumur 18 tahun dan ketika itu salah seorang yang belajar dengannya (Abu Bakr al-A’yan) menceritakan bahawa beliau melihat wajah al-Bukhari baru ditumbuhi janggut yang nipis.

Kekuatan hafazannya juga mengkagumkan para ulama yang hidup sezaman dengannya. Salah seorang rakannya (Hasyid Ibn Ismail) pernah memberitahu bahawa beliau masih ingat ketika al-Bukhari sama-sama belajar dengannya di Basrah. Al-Bukhari selalu datang ke majlis pengajian hadith tanpa menulis dan hanya mendengar sahaja. Ketika ditegur, beliau dengan mudah dapat menyebut kembali semua hadith yang beliau pelajari bersama-sama yang lain dan Hasyid menyatakan bahawa al-Bukhari merupakan tempat mereka menyemak kembali catatan mereka sama ada betul atau salah. Begitulah juga apa yang diceritakan oleh rakannya yang lain iaitu Muhammad Ibn al-Azhar al-Sijistani ketika beliau dan al-Bukhari belajar daripada seorang alim hadith, Sulaiman Ibn Harb di Basrah juga.

Al-Bukhari pernah ditanya tentang rahsia dirinya berjaya menghafaz banyak hadith dan dapat pula menguasai kajian hadith. Maka beliau menjawab: ‘aku tidak tahu ubat yang paling berkesan untuk menghafaz melebihi daripada sifat keinginan yang kuat dan juga pengulangan dalam membaca’. Inilah rahsia kejayaan beliau dan sememangnya kita dapat menerima dengan yakin bahawa sesuatu bidang itu dapat dikuasai oleh orang yang mempunyai minat terhadap bidang itu dan juga pengulangan dalam mengkaji.

Perlu juga diingat bahawa al-Bukhari tidak bergantung semata-mata kepada ingatannya yang kuat. Malah beliau pasti akan menulis hadith-hadith yang beliau dapat walaupun beliau mampu mengingatinya. Itulah yang dinyatakan oleh beliau dengan kata-katanya: ‘Aku tidak mula mengajar orang lain tentang hadith sehinggalah aku dapat membezakan di antara yang sahih dan yang dhaif. Begitu juga aku tidak mengajar sehinggalah aku membaca buku-buku ahli ra’y (ahli fiqh). Tidak ada hadith yang aku dengar di Basrah melainkan semuanya aku tulis’.

Begitulah kehidupan ilmiah al-Bukhari secara ringkas. Beliau berusaha, mengembara, menghafal, membaca, menulis, belajar dan mengajar. Tidak pernah kita temui di dalam kisah hidupnya bahawa beliau mendapat ilmu secara ladunni, kasyaf, ilham, yaqazah atau mimpi sebagaimana sebahagian ahli tarekat berbangga dan bercerita tentang kehebatan imam-imam mereka. Al-Bukhari tidak menunggu-nunggu ilmu yang datang terus daripada Allah SWT kerana sememangnya beliau tahu bahawa Rasulullah SAW tidak pernah mengajar bahawa ilmu itu ditunggu dan tidak dicari. Ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith sahih mendidik kita bahawa ilmu itu dicari dan bukannya ilmu itu datang tanpa usaha kecuali para Nabi dan Rasul. Hanya mereka yang dipilih untuk diajar oleh Allah SWT dan bukannya manusia lain yang tidak pernah sampai ke tahap Nabi dan Rasul.

Al-Bukhari melengkapkan usaha dan kesungguhannya menuntut ilmu dengan memohon pertolongan Allah SWT dengan solat sunat setiap kali beliau ingin memasukkan hadith ke dalam bukunya al-Jami’ al-Sahih atau Sahih al-Bukhari. Inilah yang ingin kita terapkan ke dalam jiwa setiap muslim dan muslimah: berusaha bersungguh-sungguh berserta tawakkal dan doa memohon pertolongan Allah SWT. Bukannya menunggu dan berdoa tanpa usaha yang sepatutnya. Bukan juga berusaha tanpa doa dan sombong terhadap Allah SWT. Kita inginkan kaedah yang betul: doa dan usaha, usaha dan doa, tidak ada yang tertinggal dan tercicir.

Fahaman ilmu secara terus daripada Allah SWT tanpa usaha dan pengajian hanya dipopularkan oleh sebahagian golongan tarekat yang sememangnya ingin mencari alasan untuk menutup keaiban mereka yang tidak berilmu. Ia juga dijadikan alasan untuk menyokong fahaman-fahaman dan amalan-amalan mereka yang tidak berdalil daripada Al-Quran dan hadith sahih. Maka mereka mengemukakan bahawa fahaman atau amalan itu mereka perolehi secara ilham, kasyaf, mimpi, yaqazah, ladunni dan sebagainya. Fahaman ini juga bertujuan untuk mengangkat kedudukan syeikh-syeikh tarekat ke tahap yang tidak boleh dipersoalkan lagi. Maka mereka mendakwa mereka tidak memperolehi ilmu daripada buku, tetapi terus diajar oleh Allah SWT kerana mereka adalah orang-orang yang kuat beribadah. Kekuatan dan kesungguhan mereka dalam beribadah telah menyebabkan Allah SWT menurunkan ilmu agama ke dalam hati mereka secara ilham, kasyaf, ladunni dan pelbagai lagi istilah lain yang tidak berkaitan dengan usaha menuntut ilmu.

Contohilah kesungguhan para ulama terkemuka sejak dahulu hingga kini dalam menuntut ilmu seperti Imam Muhammad Ibn Ismail al-Bukhari, semoga Allah merahmatinya dan memberikan ganjaran terhadap usahanya dalam memelihara kesucian hadith Rasulullah SAW. Semoga Allah SWT menggerakkan hati-hati kita ke arah mendalami ilmu tentang Islam menerusi cara dan jalan yang betul iaitu : menuntut ilmu dan mempelajarinya sama ada secara formal atau tidak formal. Pepatah Arab pernah mengatakan bahawa ‘ilmu itu dicari dan ia tidak mencari kita’.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: